Friday, August 30, 2013

Merdeka?!

Selamat Ulang Tahun Kemerdekaan Negara!

Saban tahun kita didoktrin untuk menghayati makna kemerdekaan negara dengan menghargai perjuangan perwira-perwira tanah air membebaskan negara daripada cengkaman penjajah. Setiap kali tiba bulan Ogos kita diasak dengan kempen cinta negara dan mengibarkan bendera negara.

Menyemai semangat cinta negara yang sebenar bukanlah mudah. Menghayati makna merdeka itu sendiri amat payah bagi generasi kini. Bagi mereka, merdeka itu bermaksud kita bebas. Bebas melakukan apa sahaja yang mereka mahu. Parah. Andai tiada calitan roh sedar, generasi masa depan akan terus dibawa arus kemahuan tanpa kefahaman.

Masih banyak kerja kita!

Memaknakan merdeka dengan bebas negara daripada pergaulan bebas. Membebaskan rakyatnya daripada 'tangan bawah meja'. Menyemai benih-benih kebajikan serta menghapuskan lalang-lalang kemungkaran. Semua itu tidak payah namun tidak juga mudah. Tidak begitu payah andai ada kuasa besar yang mendokong dan menyokong. Tidak payah andai lapisan masyarakat kini diserapkan dengan nilai-nilai pemurnian jasad dan jiwa.

Namun tak mudah bila tangan-tangan kecil sahaja yang berusaha mendokong tanpa disokong. Tak mudah bila manusia-manusia di sekeliling seakan buta dan dipekakkan dengan hedonisme menggila. Berat! Apalah makna merdeka andai jiwa masih dibelenggu noda.

Apalah makna merdeka andai hatiku masih resah mengenang dunia. Apalah makna merdeka andai jasadku masih tak mampu bergerak menangkis lalang-lalang mungkar. Apalah makna merdeka andai lidahku belum petah menguntum bait-bait mutiara peringatan. Apalah makna merdeka andai akalku belum berjinak-jinak mengatur plan global menjulang kalimah tauhid. Apalah makna merdekaaa...

Muhasabah. Maknakan tahrir al-watan (kemerdekaan negara) dengan tahrir an-nafs (kemerdekan jiwa).

1 comment:

Syukran!
Senyum khalifah menyubur ukhuwah :)